Wednesday, December 1, 2010

Belum waktunya

Tersedar dari lamunan
Terjaga dari tidur yang dipaksa
Malam begitu sepi tatkala bunyian jarum jam yang berlegar di telinga
dan malam masih panjang
Jasad seakan mendapat hembusan semangat
Wujud kesegaran yang hanya diimpikan di pagi hari
Tiada ruang untuk lena menyandar
Namun tiada manfaat yang berhasil dari kesegaran ini
Hanya menjengah ruangan sesawang bisu
Menatap kaku diam membatu
dan mata tak lekang mengerling ke arah jam
Menghitung baki tidur yang belum terlunas
Bimbang nguapan mengisi hari
Melalui hari tanpa motivasi
Memaksa fikiran sempurna bertindak
Menghadirkan kesimpulan yang penuh kewarasan


Friday, November 19, 2010

Bicara kasih buat kekasih

Jasad kaku
Jantung umpama meteor yang mahu menghempas bumi
dan lidah kaku seperti ais yang membeku
Namun digagahkan juga diri ini untuk mendengar segalanya
Penjelasan, pengakuan
Itu yang dituntut oleh sanubari
Sedang hati masih termangu gagal merungkai belenggu

Terdengar sayup suaramu
Setiap kata dirasakan hambar
Seakan dapat mengagak bicara yang bakal mengundang
Dalam ketidaktentuan perasaan
Terus menerus jawapan ditagih
Sekadar ingin merungkai simpulan dalam perhubungan
Sedang minda terus berkecamuk dengan pelbagai kesimpulan
dan jiwa meronta ekoran firasat yang berbaur

Maafkanlah
Jika hatimu pernah terluka dengan sikap sambil lewaku
kerana aku lalai dalam menilai perasaanmu
Maafkanlah
Jika dirimu terasa hati dengan luahan rasa serta kata-kataku
kerana aku lupa ada sekeping hati yang istimewa akan menelannya

Ego ku acap kali memakan diri
Namun
Tak akan putus usaha memperbaiki diri terus menerus memahami
Mengukuhkan perasaan yang diimpikan utuh
Meluaskan empayar melangkaui sempadan
Usahlah ragu
Kerana cintaku tercipta untukmu


 

Thursday, November 4, 2010

Memaknakan sebuah rasa..

Berbicara soal rasa
Mengundang kata yang mudah dilafaz
Suatu yang hadir dari gerak bibir semata-mata
Umpama hembusan angin
Memberikan kedinginan yang sementara
Rasa dan kata suatu yang amat berbeza
Rasa bertiangkan ikhlas
dan kata melempiaskan belas

Rasa itu amat rahsia
Sering terlindung tanpa mengetahui hakikat yang sebenarnya
Seperti menyetujui lumrah kehidupan
Yang tersorok itu amat indah
Istimewanya bukan dinilai melalui pandangan mata
Bukan juga dari telinga yang mendengar segalanya
Hanya hati yang menjadi saksi

Rasa itu suatu yang misteri
Kadang mampu mencabar mimpi
Melangkau segala yang terpendam
Menongkah ganasnya arus kehidupan yang mendatang
Namun
Rasa itu tak seteguh kerikil yang tersorok dibalik kedalaman sungai
Kukuh bertaut walau saban hari dihakis deras air yang mengalir
Dalam tak sedar ia makin menghilang
Menghadirkan coretan yang penuh pertanyaan

Surut dan pasang bagai lautan
Kelam dan terang umpama kehidupan
dan..
tiada makna yang ditemukan

Sunday, October 24, 2010

Hari

Masa terus berlalu
hari berganti hari, bulan berganti bulan
Tiada yang berubah
Hari ini ibarat meniru hari semalam
dan kelibat bulan mendatang sudah mula terbayang
Sekadar mengulang gelak tawa kelmarin
mengundang kebingungan yang tak bosan datang bertamu
Sedang diri mula dikuasai jemu
Terhimpun ikhtiar yang tiada noktah
Terlindung rasa yang penuh rahsia
Mencari jalan tanpa arah
Terus leka dibuai alpa
Tanpa menyedari...
Hari kian berlalu

Thursday, October 7, 2010

Kehidupan

Fikiran di biar jauh melayang
Jauh merentasi keterbatasan akal fikiran
Sekadar mengisi ruang pemikiran yang kosong
Sedang minda gagal merungkai apa yang di cari
dan hati tewas dalam menafsir suatu yang pasti

Dibiar diri leka dalam angan-angan
Seakan menjadi satu perhentian menanti lelap tatkala malam
Menjadi modal mengecap mimpi-mimpi indah
Sedang jasad hanyut merasa nikmat selesa
dan minda tenang tanpa sebarang kekusutan

Terdengar nyaringnya bunyi jam loceng menggegar gegendang telinga
Seakan parajurit yang tergamam dengan berdas-das tembakan
Dalam separuh sedar dipaksa jasad untuk bangkit
Ada rutin yang perlu dilaksanakan
Walau sehebat mana jiwa mengeluh
Namun inilah yang perlu dilalui
Sehingga suatu masa pastinya akan tersedar
Betapa ruginya melalui kehidupan yang tidak dihargai
dan...
aku menantikan saat itu...



Thursday, September 30, 2010

Istimewa

Walau kadang terbit perasaan dengan perwatakan antagonis
yang tak sudah membiar bahagia terhakis
akan ku usaha dengan kudrat daya dan idea untuk menepis
agar yang tinggal hanyalah romantis

Pelbagai rasa yang ku kecapi kini. Sesuatu yang teramat baru untuk merasai sesuatu yang tidak pernah ku alami. Segalanya cukup memberi kesan pada hati, naluri dan nurani. Dada masih terkesan dengan keasyikan irama kebahagiaan yang tak akan dibiarkan padam. Aku masih baru dengan semua ini. Aku perlukan ruang serta peluang dalam menyelusuri derasnya segala yang mendatang. Kerana aku bimbang akan hanyut tanpa ada tangan yang sudi dihulur untuk ku gapai. Biarlah perlahan pada permulaan, bagi mengelak lelah pada penghujung jalan. Lidah ku kaku...tiada kata yang dapat diungkap mengikut logik akal tatkala hati sedang membuak-buak dengan gelora bahagia. Ku biarkan hatiku terus berpesta menggetarkan jasad pinjaman dari Yang Maha Esa.

Usai meluah rasa yang tak terungkap dengan kata, lelap mula bermain di mata. Ku biarkan seluruh tubuh diselubungi selimut kasih sayang. Memberi kehangatan dalam kedinginan malam. Deria pula terlalu asyik menikmati segarnya haruman, seakan menjanjikan bahagia pada keesokan harinya. Aku mengecap lena bertemankan pemberian yang istimewa.

Wednesday, September 22, 2010

...

Bahagia mula menjadi beban
Terasa senak di dada menahan derita
Cuba ku biarkan agar ia pulih dengan sendirinya
Namun lukanya semakin dalam
Terlalu dalam sehingga jiwa ini tak sudah meronta
Segala yang manis mula ku rasakan tawar
Segala rasa bertukar duka
Kepedihan yang tak pernah kurasai mula melanda diri
Seakan mampu merebahkan jasad ku agar tunduk pada masalah
Mengapa perlu ku kecapi bahagia jika tersingkap derita dipenghujungnya
Dan derita itu telah kurasai kini
Umpama buah yang belum ranum namun telah rosak dimamah ulat
Gugur ke bumi sebelum sempat mencapai kemanisan rasa
Walau tangkai masih kuat bertaut
Jika ku melepaskan derita ini bermakna ku turut kehilangan bahagia
Jika ku biarkan pasti berkocak dada berbaur rasa
Tidak tertahan rasanya
Hati terus merintih menagih beban disisih
Namun kebuntuan terus melanda diri
Sukar menghadirkan penyelesaian tatkala segalanya seperti telur dihujung tanduk
Ku singkap semak, yg kutemui adalah belukar
Ku menerobos belukar dan kutemui jurang yang teramat dalam
Aku lemah
Menanti rebah
Walau segala kudrat diluah
Hati tetap merasa lelah

Saturday, September 11, 2010

Perasaan

Perasaan miliki banyak rahsia
Hanya dapat dicungkil melalui perlakuan, kata dan pandangan mata
Ia terlalu unik sehinggga kadang sukar mengerti
Kerap terlindung tanpa sebarang tanda
Jika tiada ikhlas dalam menatijahkan perasaan
Pasti subur sifat hipokrit dan suatu yang penuh syak wasangka

Perasaan itu bersumberkan hati
Disitulah tempat lahir dan tumpahnya rasa
Yang berkata kuncikan ikhlas semata-mata
Namun
Terlalu banyak perasaan yang dipendam didunia ini
Adakah perasaan itu umpama bunga
Menanti detik paling sempurna untuk mekar dan melempiaskan harumannya
Dan jika itulah konsep sebenar perasaan
Wujudkanlah perasaan itu hanya pada yang berhak
Luahkannya hanya pada yang layak
Kerana luahan perasaan itu akan menghadirkan sesuatu yang amat indah
Teramat indah..

Tuesday, August 31, 2010

Jangan terus mengejar bayang
kerana pastinya kita akan terus ditinggalkan
Kejarlah cahaya
pastinya bayang terus dibelakang

Dying


First i was dying to finish my high school and start college.
And then i was dying to finish college and start working.
Then i was dying to marry and have children.
And then i was dying for my children to grow old enough so i could go back to work.
But then i was dying to retire.
And now i'm dying.
And suddenly i realized i forgot to live.
Please don't let this happen to you.
Appreciate your current situation and enjoy each day

-old friend- 

Sunday, August 29, 2010

Sepotong ayat itu

Mataku terbaca sebaris ayat yang begitu terkesan dihati hari ini. Ku cuba mendalami dan ternyata ada benarnya segala yang dimaksudkan pernyataan itu. Hati ini sama sekali tidak dapat menidakkan pernyataan itu kerana ianya terlalu jujur dan tulus. Namun diri ini teramat sukar menerimanya. Adakah itu petanda aku tidak jujur.?? dan aku tidak tulus.?? Berkali ku cuba menafsir makna disebalik sepotong ayat itu walau ia tidak terlindung sebarang makna yang terselindung. Biarkanlah, ada apa dengan pernyataan itu, mungkin dalam sekelompok manusia hanya sebahagian kecil sahaja yang benar-benar menjadikan pernyataan itu sebagai panduan dalam menyelusuri hidup mereka. Tapi mungkinkah aku akan turut tergolong dalam kelompok sebahagian kecil itu.?? Jauh disudut hati aku menafikan sekeras-kerasnya namun hatiku seolah-olah turut membisikkan sesuatu agar aku meyakini. Sepotong ayat itu mengganggu seharian hidupku dan mungkin memberi kesan pada kehidupanku yang mendatang. Segala pilihan ditanganku, aku berhak menentukannya.

Saturday, August 28, 2010

Aku

Alone, but still green

Siapakah yang benar-benar mengenali diri ini?
Aku sendiri cuba memahami
Tapi kadang aku sukar mengerti
Umpama mengasing jarum dalam himpunan jerami
Terus berusaha hingga melukakan jari
Sampai bila harus kubegini
Hidup dalam kesamaran mencari suatu yang pasti

Aku tidak bijak merencana
Hanya menurut segala yang terlintas diminda
Meluah luahan rasa yang binasa
Mengungkap kata yang mengundang nestapa
Sekadar mengisi kekosongan jiwa
Tanpa mengetahui pengakhiran yang bakal melanda

Aku adalah aku
Walau kadang sangsi apa yang ku tahu dan ku mahu
Tapi aku tetap aku
Akan ku menongkah arus terus maju
Mencari tujuan mencorak tuju
Mengelak bercambah rasa keliru
Menghindar pilu melempar sendu
Kerana aku tetap aku
Ya, aku adalah aku

Friday, August 27, 2010

Sing Along

(2nd song of red apple playlist)

Everytime you feel like you cannot go on
You feel so lost
That you're so alone
All you see is night
And darkness all around
You feel so helpless
You can't see which way to go

Don't despair and never loose hope
Cause Allah is always by your side
Insya Allah 2x
Insya Allah you'll find your way
Insya Allah 2x
Insya Allah you'll find your way

Everytime you can make one more mistake
You feel you can't repent
And that its way too late
You're so confused, wrong decisions you have made
Haunt your mind and your heart is full of shame

Don't despair and never loose hope
Cause Allah is always by your side
Insya Allah 2x
Insya Allah you'll find your way
Insya Allah 2x
Insya Allah you'll find your way

Turn to Allah
He's never far away
Put your trust in Him
Raise your hands and pray
OOO Ya Allah
Guide my steps don't let me go astray
You're the only one that showed me the way
Showed me the way 3x
Insya Allah 2x
Insya Allah we'll find the way

Monday, August 23, 2010

Saat Itu

Sudah bersediakah aku.?? Jika tidak mengapa aku mulakan. Jika ya mengapa masih timbul sesal. Hidup terasa bahagia bila saat itu tiba. Namun ia seakan bisa yang meracuni pemikiran dan hati pabila saat itu tak kunjung tiba. Sengsara seakan mengatasi bahagia. Adakah aku masih mentah dalam membuat keputusan.?? Sedang aku telah melalui pelbagai masalah, tidak cukupkah untuk mematangkan pemikiranku agar dapat berfikir secara bernas dan bertindak secara waras. Sekali lagi pemikiranku banjir dengan limpahan kerisauan. Tatkala aku cuba memandang perkara ini secara positif, hinggap serpihan negatif yang melemahkan pendirian. Aku perlukan kekuatan, tapi dimana perlu aku mencarinya.?? Aku lelah bila terasa lemah. Aku rindukan masa itu, aku impikan saat itu. Perlukah aku mencipta saat itu.?? Mana mungkin dapat kulaksanakan tika hati merasa berat, jasad tersorok kudrat. Biarkanlah saat itu hadir dengan sendirinya, walau ia sudah seringkali dilalui, namun aku tak pernah merasa bosan kerana hati ini seakan memenjara bahagia tatkala saat itu tiba. Tapi bila saat itu lama tidak menyinggah, diriku yang rasa dipenjara. Jika saat itu bahagia, mengapa kadang aku cuba lari daripadanya. Adakah aku dikuasai ego atau aku terlalu mengikutkan perasaan dalam membuat keputusan.?? Tiada jawapan yang kutemukan kerana semuanya seakan-akan samar. Namun saat itu sentiasa meredakan taufan didada, menghadirkan damai diminda, mencipta bahagia dalam duka. Segala rasa berubah sekelip mata. Aku rindukan.................SAAT ITU.

Norma Kehidupan

Apakah erti kita di dunia
Jika hidup penuh sia-sia
Tanpa misi dan tekad terpaut diminda
Jasad merintih bergelumang dosa

Mahukan kebebasan umpama burung
Alasan bosan jiwa terkurung
Tergambar kelam diwajah murung
Umpama diri sedang berkabung

Kata semangat dibibir meniti
Namun hakikatnya kosong tiada erti
Mengharap tuah hadir disisi
Sedang diri tandus menagih simpati

Kata diluah merdu
Dalam keasyikan terbuai layu
Mahu melunas rasa rindu
Sedang diri hanyut dalam lautan hempedu

Dimana terbitnya keikhlasan
Jika usaha mengharap pujian dan penghargaan
Tiada lagi diimpikan kejayaan
Pabila hidup tersasar dari landasan

Perilaku tidak disangsi normal
Kadang melampau berlagak brutal
Konon dalam hati ada kristal
Namun hakikatnya terlindung masalah mental

Melangkah bongkak persis pahlawan gagah
Sedang diri lemah melaksanakan ibadah
Usah dibiar punah keindahan sifat mahmudah
Jangan sekali dibiar megah mengagungkan mazmumah

Manusia makhluk dicipta sempurna
Namun perlakuan mengundang cacat cela
Mahu dijulang disorak sebagai wira
Sedang diri leka dan alpa

Punya otak tapi tak sudah memberontak
Punya akal tapi masih kelihatan bebal
Punya tangan tapi tak puas merosakkan
Punya hati tapi dibiar mati

Usia makin meningkat
Hidup semakin singkat
Bersamalah kita beringat
Menghindar diri dari tersesat



Saturday, August 21, 2010

Hujan

Hujan yang turun cukup mendamaikan
Bagaikan penyembuh jiwa
Meresap keseluruh sanubari menenangkan hati
Tapi kadang mengundang sifat mengenang nasib diri
Hendak kubicara tapi luahan tiada kata
Hendak kutangis tapi air mata telah habis
Biarlah air hujan yang menjadi pengganti
Jika tiap titis hujan itu adalah keluh, resah serta masalah
Pasti akan lebur semuanya apabila titis hujan itu menghempas bumi
Namun itu bukanlah realiti
Hanya madah dalam pemikiran penuh fantasi

Kesejukan pagi diiring dengan titisan hujan mencucuk segenap tubuh
Seakan memberi tenaga untuk bermuhasabah diri
Berfikir secara rasional bertindak secara total
Menghasil buah fikiran positif serta daya yang efektif

Kelihatan sekumpulan burung berterbangan mencari sarang
dan terdapat seekor dua yang ceria bebas terbang menikmati rahmat dari Tuhan
Kicauan burung seakan turut menceriakan hati
Menatijahkan bahagia yang tidak terungkap
Namun
Hujan itu tidak lebih hanya dianggap penambah lena dalam lelap
Menambah nikmat kala selimut menyelubungi diri
Memeluk tubuh kaku menyepi
Inikah yang dicari
Tatkala suasana suram sekeliling kelam
Tiada cahaya neon yang dibenar memancar
Membiarkan diri hanyut menggapai mimpi indah
Keindahan pabila bumi basah tidak diendah
Sifat ingin bersenang menguasai diri
Mencari selesa dalam lena
Mencari realiti dalam mimpi
Kala coretan ini hampir menemui noktah
Hujan semakin surut
Kian menghilang redup
Menghadiahkan mentari kala angin terus bertiup
Memberi sinar meneruskan hidup

Friday, August 13, 2010

Jika

Jika bahagia boleh dibeli,
akan ku usaha untuk memiliki
Jika ketenangan hanya dihujung jari,
tak akan terbit resah dihati

Terlalu banyak istilah 'jika' dan 'kalau' bermain di minda segolongan manusia. Semuanya sekadar mencari bahagia dan gembira yang hanya berlegar di minda, tapi hakikatnya kosong, tiada erti. Mungkinkah istilah itu hanya untuk mereka yang berjiwa lemah.?? Mahukan hidup tanpa usaha, namun mengharap kejayaan yang luar biasa. Ibarat kelahiran semula Mat Jenin yang hidup bertemankan angan-angan serta mimpi indah. Mat Jenin moden yang khayal dengan arus pembangunan dan kemewahan negara yang diduduki. Namun, bila dipandang dari sudut yang berlainan, salahkah untuk berangan-angan.?? Dalam angan tercipta kemahuan, dalam kemahuan lahirnya perancangan, dalam perancangan terbit naluri untuk melaksanakan, dan dalam melaksanakan pastinya ada kejayaan. Tanpa angan pernahkah terlintas difikiran untuk memiliki sesuatu yang luar biasa.?? Kisah Mat Jenin hanyalah cerita dongeng yang direka sebagai pedoman pada mereka yang mendengar atau membaca kisah mengenainya. Menimbulkan fenomena takut untuk berangan-angan dan khuatir dilabel sebagai Mat Jenin. Tapi bagaimana jika penceritaan kisah Mat Jenin tidak ditamatkan dengan Mat Jenin menemui ajal terjatuh dari pokok kelapa.?? Mat jenin berjaya merencanakan apa yang dirancang, tidakkah ia menjadi ikutan yang positif. Namun janganlah memperhambakan diri pada angan-angan, angankan hanya apa yang diimpikan serta susuli dengan usaha dan perancangan, nescaya kejayaan milik kita.

Wednesday, August 11, 2010

Masa

Kala tengah hari ku melepas lelah
Bahang teriknya mentari bagaikan bisa meresap kedalam tubuhku
Aku sandarkan tubuh sambil memerhati jam dinding yang terus berlalu
Bunyi jarum saat mengisi ruang pendengaran
Bagaikan tiada ihsan pada umat manusia yang leka
Dan tiada diskaun pada golongan yang menghargai masa
Bagaimana dapatku manfaatkan tiap detik dengan sebaik-baiknya.??
Jika diriku terus dibuai leka dan alpa
Hidup ini ibarat perlumbaan
Masa adalah satu-satunya pesaing
Yang membezakan hanyalah samada kita yang dikejar atau yang mengejar
Jika kita yang dikejar,
teramatlah rugi mengecap kehidupan
Jika kita yang mengejar,
tak akan terasa sia-sia mengharungi hari yang mendatang
Oleh itu
Hargailah masa
Kerana masa itu bukan emas yang boleh dipajak gadai
Masa juga bukan harta yang boleh diwasiatkan
Selagi minda terus berputar
Daya terus digunakan
Masa adalah milik kita

Meluah yang terluah

Dikala malam ku meluah yang terpendam
Dalam separuh sedar ku dikejutkan dengan luahanmu. Kepalaku masih terasa berat dan mindaku masih diawangan tatkala luahanmu meresap kejiwaku. Laluku luangkan masa menyingkap jendela hati sekadar untuk berkongsi apa yang kurasa. Bukan niatku untuk mengganggu lenamu cuma aku leka dan hatiku terpaut utuh dalam mengecap nikmat serpihan cintamu. Izinkanlah hatiku terus berpaut bagi mencipta kekuatan hati kita. Jangan biarkan hati kita turut mengeluh dek jauhnya jasad antara kita. Kau tak pernah sendiri kerana cintaku sentiasa mengekorimu dan aku juga tak akan sendiri selagi kau terus merinduku. Tatkala mata ini ingin dipejam, jiwaku merintih mahu coretan ini dihabiskan. Lalu hatiku meluah segala yang terpendam seraya menghasilkan kudrat supaya segala rasa dapat dikongsi antara kita. Aku tak dapat menjanjikan sesuatu yang pasti, tapi aku dapat memberi keyakinan padamu untuk meyakini cintaku padamu.

Buah fikiran

Malam ini
Fikiranku kosong
Banyak yang hendak diluah
Namun jariku kaku mengikut rentak fikiran yang layu
Apakah yang mengganggu mindaku.??
Tiada kata yang dapat diungkap
Tiada rasa yang dapat diluah
Tiada coretan yang menemui noktah terakhir
Aku terus berusaha menggali
Namun yang kutemukan hanyalah penghujung jalan yang mati
Mungkin mindaku memberontak
Mahukan masa santai untuk mencari ketenangan
Ya, aku perlu merehatkan minda
Supaya dapat membuahkan buah fikiran yang ranum
Supaya jariku lancar meluncur
Supaya aku tak termenung menatap coretan yang tak berpenghujung
SELAMAT MALAM..

Tuesday, August 10, 2010

Merungkai pengertian

Adakah dia salah mengerti.??
Membaca coretan yang tiada isi
Atau aku yang membuat andaian secara membuta tuli.??
kerisauan terbit dalam diri
keheningan menular disanubari
mencari jawapan yang pasti
Namun
bayangmu tidak kelihatan di malam yang sepi
kebosanan menjenguk tatkala aku menanti
mungkin dirimu telah dibuai mimpi
mengumpul kekuatan bangun bersahur dipagi hari
dan aku tetap disini
mencari mimpi dalam realiti

Ramadhan 1431 hijrah

Ahlan wa sahlan ya ramadhan
Dalam tak sedar, begitu pantas masa berlalu
Meninggalkan kelompok manusia yang lalai meniti hari yang penuh berharga
Ingatanku pada rejab masih mekar tatkala syaaban menanti waktu melabuhkan tirainya Ramadhan pula bakal menjelma membawa seribu satu keberkatan pada umat manusia Sedarkanlah diri kita dari lamunan,
hidupkanlah jiwa yang semakin mati,
wujudkanlah sinar dalam suasana yang kelam
Jadikanlah ramadhan kali ini bulan yang begitu bermakna pada jiwa hamba
Individu islam sedunia selayaknya berpesta ibadah sepanjang bulan mulia ini
Pesta yang penuh kenikmatan dengan janji pembalasan yang tak terbayang indahnya
Ya Allah,
berikanlah aku kekuatan untuk terus sujud padaMu
Wujudkan cinta sejati hanya padaMu dalam diri setiap umat islam
Hulurkan hidayahMu pada mereka yang berusaha mencarinya.
Hanya padaMulah kami memohon.
Amin...

Monday, August 9, 2010

Hari ini

Ku tersedar dari lamunan
menatap wajah yang seakan sembam
seperti menampakkan jiwaku yang kelam
tapi itulah hakikat hariku yang suram
Hari ini
ibarat meniru kelibat hari semalam
mencari sinar dalam kegelapan
mindaku kerap menimbulkan persoalan demi persoalan
adakah mungkin akan kutemui ketenteraman.??
layakkah aku untuk hidup dengan aman.??
mampukah aku menghadapi dugaan.??
persoalan kosong dicoret agar menemukan jawapan
namun kusimpulkan biarlah masa yg menjadi ketentuan
mengharungi hari melakar masa depan
Hari ini
kucoret isi hati agar dapat menjadi pedoman masa mendatang
kumencari tuju yang tiada tujuan
kumencari erti yang tiada pengertian
kumencari sinar dalam kegelapan
Namun
yang kutemukan hanya noktah yang tidak berpenghujung
inilah aku
insan yang hidup menggapai misi dan visi yang tidak diketahui kewujudannya
mencari segenap peluang untuk memajukan diri
semoga peluang yang kutemukan menjadi putik bagi bunga masa depan
Hari ini
adalah titik tolak bagi segalanya..

Masa silam

Jika kesilapan lampau mencacatkan kehidupan mendatang,
adakah ia dapat diperbetulkan..??
Sering kali terdengar 'semalam adalah sejarah',
adakah mungkin sejarah tidak akan berulang..??

Itulah perkara yang sering kufikirkan, penyebab kemurungan dan hilangnya keyakinan pada diri sendiri. Perlukah aku memberontak.?? Meluah segala isi hati dengan amarah dan linangan air mata. Tapi itu bukan aku kerana bagiku biarlah ia terus bernanah asalkan tiada hati lain yang terluka. Namun itulah penyebab aku selalu tewas menghadapi dugaan. Orang sekeliling menganggapku insan ceria yang terhindar dari masalah, tapi itu tidak mencerminkan diriku yang sebenar. Jiwaku umpama tong sampah yang diisi dengan longgokan masalah, mindaku umpama vakum yang menyedut segala kebimbangan dan diriku mencari erti yang tiada pengertian.

Gelapkah masa depan

Jam sudah hampir mendekati 2 pagi. Aku masih disini, memikirkan perihal diriku yang seakan lemah berdiri seorang diri. Aku tak lari dari sifat manusia yang mahukan keselesaan dan kebahagiaan dalam hidup mereka, namun keluhan 'tak mampu' acap kali berlegar diminda. Aku hanyalah berkelulusan diploma dan hidup dalam keluarga yang sederhana. Kini usiaku mencecah 21 tahun, aku punya minat untuk mendapatkan segulung ijazah, tapi faktor masa merencatkannya. Jurang waktu 4 tahun bagi mengejar segulung ijazah terlalu lama bagiku. Dengan hutang RM15,000 masih belum langsai semasa aku mendapatkan diploma, mana mungkin aku sanggup membiarkan nilainya mencecah RM50,000 bagi mengejar ijazah. Mungkin perjalanan pendidikan berhenti stakat diploma sahaja kerana aku telah menemui pekerjaan. Impianku mungkin diabaikan walaupun ahli keluarga kerap memberi rangsangan untuk menyambung belajar. Rakan-rakan sering memberiku peluang. Fokusku kini berpecah kepada dua bahagian, aku dan keluargaku. Bagaimana mungkin dapatku realisasikan keduanya sedangkan aku punya perancangan hidupku sendiri. Ahh, aku makin lemah, kekuatan yang kucari seakan telah pudar. Hidupku dipenuhi tekanan, aku mula menjadi pendiam, ahli keluargaku seakan org asing bagiku. Dimanakah silapnya.??
penyelesaian

Perlukah cinta

Adakah dia gadis yg kuimpikan..?? Disaat cinta mula disemai, kasih mula dipaut, tp hati ini terasa makin jauh. Logikkah untukku mengatakan dirimu terlalu sempurna untukku, aq terlalu kerdil dibanding denganmu. Mampukah aku menyatakan dikala hati ini amat sukar membenarkannya. Aku makin keliru, aku mahukan syurga cinta, tp aku tak layak mendapatkan cinta kerana aku insan hina. Aku tak mahu dirimu terus turut terjerumus dalam cinta yang mungkin menemui noktah ini. Namun mampukah aku menerima kehilanganmu.?? Aku terlalu mementingkan diri sendiri, tapi disebalik sikapku ini aku mengharapkan yang terbaik untukmu. Salahkah aku untuk meletakkan masa bagi menentukan segalanya.?? Amat perit bagiku, aku hanya mampu merahsiakan segala isi hati ini demi menjaga cinta kita. Segala apa yang kau lihat padaku hanyalah keindahan mawar yang mewangi, namun durinya telah melukakan hatiku ini. Patutkah aku melepaskan cintamu dan hanya mengejar cinta pada Yang Esa. Persoalan ini kerap berlegar diminda, tp tetap tidak menemukan jawapan, atau mungkin aku yang sengaja tidak mahukan jawapan. Kegilaan apakah yang melanda diriku ini.?? Dalam kekuatan pohon cinta kita terlindung dahan yang agak rapuh merintih mahu disemai. Maafkan aku sayang jika aku pernah melukakanmu.....