Dikala malam ku meluah yang terpendam
Dalam separuh sedar ku dikejutkan dengan luahanmu. Kepalaku masih terasa berat dan mindaku masih diawangan tatkala luahanmu meresap kejiwaku. Laluku luangkan masa menyingkap jendela hati sekadar untuk berkongsi apa yang kurasa. Bukan niatku untuk mengganggu lenamu cuma aku leka dan hatiku terpaut utuh dalam mengecap nikmat serpihan cintamu. Izinkanlah hatiku terus berpaut bagi mencipta kekuatan hati kita. Jangan biarkan hati kita turut mengeluh dek jauhnya jasad antara kita. Kau tak pernah sendiri kerana cintaku sentiasa mengekorimu dan aku juga tak akan sendiri selagi kau terus merinduku. Tatkala mata ini ingin dipejam, jiwaku merintih mahu coretan ini dihabiskan. Lalu hatiku meluah segala yang terpendam seraya menghasilkan kudrat supaya segala rasa dapat dikongsi antara kita. Aku tak dapat menjanjikan sesuatu yang pasti, tapi aku dapat memberi keyakinan padamu untuk meyakini cintaku padamu.

No comments:
Post a Comment