Thursday, September 30, 2010

Istimewa

Walau kadang terbit perasaan dengan perwatakan antagonis
yang tak sudah membiar bahagia terhakis
akan ku usaha dengan kudrat daya dan idea untuk menepis
agar yang tinggal hanyalah romantis

Pelbagai rasa yang ku kecapi kini. Sesuatu yang teramat baru untuk merasai sesuatu yang tidak pernah ku alami. Segalanya cukup memberi kesan pada hati, naluri dan nurani. Dada masih terkesan dengan keasyikan irama kebahagiaan yang tak akan dibiarkan padam. Aku masih baru dengan semua ini. Aku perlukan ruang serta peluang dalam menyelusuri derasnya segala yang mendatang. Kerana aku bimbang akan hanyut tanpa ada tangan yang sudi dihulur untuk ku gapai. Biarlah perlahan pada permulaan, bagi mengelak lelah pada penghujung jalan. Lidah ku kaku...tiada kata yang dapat diungkap mengikut logik akal tatkala hati sedang membuak-buak dengan gelora bahagia. Ku biarkan hatiku terus berpesta menggetarkan jasad pinjaman dari Yang Maha Esa.

Usai meluah rasa yang tak terungkap dengan kata, lelap mula bermain di mata. Ku biarkan seluruh tubuh diselubungi selimut kasih sayang. Memberi kehangatan dalam kedinginan malam. Deria pula terlalu asyik menikmati segarnya haruman, seakan menjanjikan bahagia pada keesokan harinya. Aku mengecap lena bertemankan pemberian yang istimewa.

Wednesday, September 22, 2010

...

Bahagia mula menjadi beban
Terasa senak di dada menahan derita
Cuba ku biarkan agar ia pulih dengan sendirinya
Namun lukanya semakin dalam
Terlalu dalam sehingga jiwa ini tak sudah meronta
Segala yang manis mula ku rasakan tawar
Segala rasa bertukar duka
Kepedihan yang tak pernah kurasai mula melanda diri
Seakan mampu merebahkan jasad ku agar tunduk pada masalah
Mengapa perlu ku kecapi bahagia jika tersingkap derita dipenghujungnya
Dan derita itu telah kurasai kini
Umpama buah yang belum ranum namun telah rosak dimamah ulat
Gugur ke bumi sebelum sempat mencapai kemanisan rasa
Walau tangkai masih kuat bertaut
Jika ku melepaskan derita ini bermakna ku turut kehilangan bahagia
Jika ku biarkan pasti berkocak dada berbaur rasa
Tidak tertahan rasanya
Hati terus merintih menagih beban disisih
Namun kebuntuan terus melanda diri
Sukar menghadirkan penyelesaian tatkala segalanya seperti telur dihujung tanduk
Ku singkap semak, yg kutemui adalah belukar
Ku menerobos belukar dan kutemui jurang yang teramat dalam
Aku lemah
Menanti rebah
Walau segala kudrat diluah
Hati tetap merasa lelah

Saturday, September 11, 2010

Perasaan

Perasaan miliki banyak rahsia
Hanya dapat dicungkil melalui perlakuan, kata dan pandangan mata
Ia terlalu unik sehinggga kadang sukar mengerti
Kerap terlindung tanpa sebarang tanda
Jika tiada ikhlas dalam menatijahkan perasaan
Pasti subur sifat hipokrit dan suatu yang penuh syak wasangka

Perasaan itu bersumberkan hati
Disitulah tempat lahir dan tumpahnya rasa
Yang berkata kuncikan ikhlas semata-mata
Namun
Terlalu banyak perasaan yang dipendam didunia ini
Adakah perasaan itu umpama bunga
Menanti detik paling sempurna untuk mekar dan melempiaskan harumannya
Dan jika itulah konsep sebenar perasaan
Wujudkanlah perasaan itu hanya pada yang berhak
Luahkannya hanya pada yang layak
Kerana luahan perasaan itu akan menghadirkan sesuatu yang amat indah
Teramat indah..