Wednesday, December 1, 2010

Belum waktunya

Tersedar dari lamunan
Terjaga dari tidur yang dipaksa
Malam begitu sepi tatkala bunyian jarum jam yang berlegar di telinga
dan malam masih panjang
Jasad seakan mendapat hembusan semangat
Wujud kesegaran yang hanya diimpikan di pagi hari
Tiada ruang untuk lena menyandar
Namun tiada manfaat yang berhasil dari kesegaran ini
Hanya menjengah ruangan sesawang bisu
Menatap kaku diam membatu
dan mata tak lekang mengerling ke arah jam
Menghitung baki tidur yang belum terlunas
Bimbang nguapan mengisi hari
Melalui hari tanpa motivasi
Memaksa fikiran sempurna bertindak
Menghadirkan kesimpulan yang penuh kewarasan


Friday, November 19, 2010

Bicara kasih buat kekasih

Jasad kaku
Jantung umpama meteor yang mahu menghempas bumi
dan lidah kaku seperti ais yang membeku
Namun digagahkan juga diri ini untuk mendengar segalanya
Penjelasan, pengakuan
Itu yang dituntut oleh sanubari
Sedang hati masih termangu gagal merungkai belenggu

Terdengar sayup suaramu
Setiap kata dirasakan hambar
Seakan dapat mengagak bicara yang bakal mengundang
Dalam ketidaktentuan perasaan
Terus menerus jawapan ditagih
Sekadar ingin merungkai simpulan dalam perhubungan
Sedang minda terus berkecamuk dengan pelbagai kesimpulan
dan jiwa meronta ekoran firasat yang berbaur

Maafkanlah
Jika hatimu pernah terluka dengan sikap sambil lewaku
kerana aku lalai dalam menilai perasaanmu
Maafkanlah
Jika dirimu terasa hati dengan luahan rasa serta kata-kataku
kerana aku lupa ada sekeping hati yang istimewa akan menelannya

Ego ku acap kali memakan diri
Namun
Tak akan putus usaha memperbaiki diri terus menerus memahami
Mengukuhkan perasaan yang diimpikan utuh
Meluaskan empayar melangkaui sempadan
Usahlah ragu
Kerana cintaku tercipta untukmu


 

Thursday, November 4, 2010

Memaknakan sebuah rasa..

Berbicara soal rasa
Mengundang kata yang mudah dilafaz
Suatu yang hadir dari gerak bibir semata-mata
Umpama hembusan angin
Memberikan kedinginan yang sementara
Rasa dan kata suatu yang amat berbeza
Rasa bertiangkan ikhlas
dan kata melempiaskan belas

Rasa itu amat rahsia
Sering terlindung tanpa mengetahui hakikat yang sebenarnya
Seperti menyetujui lumrah kehidupan
Yang tersorok itu amat indah
Istimewanya bukan dinilai melalui pandangan mata
Bukan juga dari telinga yang mendengar segalanya
Hanya hati yang menjadi saksi

Rasa itu suatu yang misteri
Kadang mampu mencabar mimpi
Melangkau segala yang terpendam
Menongkah ganasnya arus kehidupan yang mendatang
Namun
Rasa itu tak seteguh kerikil yang tersorok dibalik kedalaman sungai
Kukuh bertaut walau saban hari dihakis deras air yang mengalir
Dalam tak sedar ia makin menghilang
Menghadirkan coretan yang penuh pertanyaan

Surut dan pasang bagai lautan
Kelam dan terang umpama kehidupan
dan..
tiada makna yang ditemukan

Sunday, October 24, 2010

Hari

Masa terus berlalu
hari berganti hari, bulan berganti bulan
Tiada yang berubah
Hari ini ibarat meniru hari semalam
dan kelibat bulan mendatang sudah mula terbayang
Sekadar mengulang gelak tawa kelmarin
mengundang kebingungan yang tak bosan datang bertamu
Sedang diri mula dikuasai jemu
Terhimpun ikhtiar yang tiada noktah
Terlindung rasa yang penuh rahsia
Mencari jalan tanpa arah
Terus leka dibuai alpa
Tanpa menyedari...
Hari kian berlalu

Thursday, October 7, 2010

Kehidupan

Fikiran di biar jauh melayang
Jauh merentasi keterbatasan akal fikiran
Sekadar mengisi ruang pemikiran yang kosong
Sedang minda gagal merungkai apa yang di cari
dan hati tewas dalam menafsir suatu yang pasti

Dibiar diri leka dalam angan-angan
Seakan menjadi satu perhentian menanti lelap tatkala malam
Menjadi modal mengecap mimpi-mimpi indah
Sedang jasad hanyut merasa nikmat selesa
dan minda tenang tanpa sebarang kekusutan

Terdengar nyaringnya bunyi jam loceng menggegar gegendang telinga
Seakan parajurit yang tergamam dengan berdas-das tembakan
Dalam separuh sedar dipaksa jasad untuk bangkit
Ada rutin yang perlu dilaksanakan
Walau sehebat mana jiwa mengeluh
Namun inilah yang perlu dilalui
Sehingga suatu masa pastinya akan tersedar
Betapa ruginya melalui kehidupan yang tidak dihargai
dan...
aku menantikan saat itu...



Thursday, September 30, 2010

Istimewa

Walau kadang terbit perasaan dengan perwatakan antagonis
yang tak sudah membiar bahagia terhakis
akan ku usaha dengan kudrat daya dan idea untuk menepis
agar yang tinggal hanyalah romantis

Pelbagai rasa yang ku kecapi kini. Sesuatu yang teramat baru untuk merasai sesuatu yang tidak pernah ku alami. Segalanya cukup memberi kesan pada hati, naluri dan nurani. Dada masih terkesan dengan keasyikan irama kebahagiaan yang tak akan dibiarkan padam. Aku masih baru dengan semua ini. Aku perlukan ruang serta peluang dalam menyelusuri derasnya segala yang mendatang. Kerana aku bimbang akan hanyut tanpa ada tangan yang sudi dihulur untuk ku gapai. Biarlah perlahan pada permulaan, bagi mengelak lelah pada penghujung jalan. Lidah ku kaku...tiada kata yang dapat diungkap mengikut logik akal tatkala hati sedang membuak-buak dengan gelora bahagia. Ku biarkan hatiku terus berpesta menggetarkan jasad pinjaman dari Yang Maha Esa.

Usai meluah rasa yang tak terungkap dengan kata, lelap mula bermain di mata. Ku biarkan seluruh tubuh diselubungi selimut kasih sayang. Memberi kehangatan dalam kedinginan malam. Deria pula terlalu asyik menikmati segarnya haruman, seakan menjanjikan bahagia pada keesokan harinya. Aku mengecap lena bertemankan pemberian yang istimewa.

Wednesday, September 22, 2010

...

Bahagia mula menjadi beban
Terasa senak di dada menahan derita
Cuba ku biarkan agar ia pulih dengan sendirinya
Namun lukanya semakin dalam
Terlalu dalam sehingga jiwa ini tak sudah meronta
Segala yang manis mula ku rasakan tawar
Segala rasa bertukar duka
Kepedihan yang tak pernah kurasai mula melanda diri
Seakan mampu merebahkan jasad ku agar tunduk pada masalah
Mengapa perlu ku kecapi bahagia jika tersingkap derita dipenghujungnya
Dan derita itu telah kurasai kini
Umpama buah yang belum ranum namun telah rosak dimamah ulat
Gugur ke bumi sebelum sempat mencapai kemanisan rasa
Walau tangkai masih kuat bertaut
Jika ku melepaskan derita ini bermakna ku turut kehilangan bahagia
Jika ku biarkan pasti berkocak dada berbaur rasa
Tidak tertahan rasanya
Hati terus merintih menagih beban disisih
Namun kebuntuan terus melanda diri
Sukar menghadirkan penyelesaian tatkala segalanya seperti telur dihujung tanduk
Ku singkap semak, yg kutemui adalah belukar
Ku menerobos belukar dan kutemui jurang yang teramat dalam
Aku lemah
Menanti rebah
Walau segala kudrat diluah
Hati tetap merasa lelah